PENYANYI nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati berhubung tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja dianggarkan seberat 214 gram, Mac lalu.
Menerusi prosiding pada Rabu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.
Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 47, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan melihat keputusan itu sebagai perkembangan positif bagi dirinya.
“Alhamdulillah, saya baik… Saya ikut segala proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini,” katanya
Sebelum ini Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.
Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai keputusan berkenaan, Yasin memberitahu dia akan meneruskan perjuangan meluluskan perubatan kanabis untuk digunakan sebagai salah satu kaedah perubatan di Malaysia.
Yasin berkata, dia berharap Malaysia akan lebih terbuka dan membenarkan kaedah perubatan itu setanding negara-negara maju yang lain apatah lagi rawatan bagi penyakit bipolar yang didakwanya terletak pada tumbuhan tersebut.
“Bagi saya perjuangan sekarang adalah untuk meluluskan perubatan kanabis, kes saya ini tidak mengapa, kita ikut prosedur sehingga ke akhirnya… hukum ke tidak, tidak mengapa, no problem!” ujarnya.