Siti Bainun Kecewa Dengan Keputusan Mahkamah

Pemilik premis Rumah Bonda Siti Bainun berkata, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKMWPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

Katanya, selepas tindakan Lak itu dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha permohonan pendaftaran dan tidak boleh menjalankan kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

Baru-baru ini Mahkamah Majistret membenarkan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur di Setapak yang dikenali sebagai Rumah Bonda dibuka semula, bagaimanapun premis berkenaan tidak boleh beroperasi sebagai pusat jagaan.

Menurut Siti Bainun, beliau menerima Notis Lak daripada JKMWPKL, yang memaklumkan Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Beliau berkata, tindakan Lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar kerana JKMWPKL mengetahui ia dalam proses permohonan pendaftaran.

Katanya, pada 20 April 2022, rumah itu menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKMWPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993, sehubungan itu ia membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022.

Leave a Comment

Share Artikel Ini