Pelakon lelaki terkenal , Datuk Rosyam Nor, menjelaskan yang dirinya tidak terlibat dengan masalah yang berlaku dalam produksi filem The Original Gangster terutamanya mengenai konflik yang melibatkan pengarahnya, Syamsul Yusof dengan pelakon, Datuk Aaron Aziz yang didakwa telah digugurkan tanpa sebab yang munasabah.
Mohamed Noor Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor , 56 yang juga teraju utama dalam filem berkenaan menjelaskan dirinya tidak mahu mencampuri urusan dan hanya menunaikan tugasannya sebagai pelakon dalam filem berkenaan.
Malah tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sedang hangat diperkatakan apabila pelbagai kenyataan yang tular di media sosial sehingga ramai nama yang terbabit dalam isu berkenaan.
Berdiam Diri
“Saya tak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan mencampuri pertikaian membabitkan Syamsul dengan Aaron. Saya juga tidak berminat untuk ambil peduli mengenai isu. Ada baiknya saya teruskan penggambaran seperti diminta pihak produksi.”
“Ketika bekerja saya tidak ambil tahu hal orang lain. Bila sampai dekat set penggambaran saya akan berlakon, jadi apa yang terjadi atau ada dengar-dengar mengenai perkara lain saya tidak peduli,” jelasnya.
Memilih untuk mendiamkan diri dan hanya menjalankan tugas yang diberi , Rosyam nampaknya tidak mahu memberikan sebarang komen yang memihak kepada sesiapa sahaja kerana tidak mahu isu berkenaan berpanjangan.
“Saya tidak mahu campur-adukkan kerja saya dengan masalah-masalah produksi. Konflik yang berlaku itu adalah masalah produksi dan bukannya masalah saya,” katanya.
Rosyam juga tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku yang mana ia telah menyebabkan perbalahan antara dua nama terkenal di Malaysia namun menyatakan yang perkara itu tidak akan mengganggu proses penggambaran yang sedang dijalankan.
“Kenapa perlu sampai terganggu pula? Dalam hidup ini bukan semua yang kita mahukan boleh dapat. Ada perkara yang kita rancang tidak sempurna.”
“Kalau tidak sempurna, kita mohon pada Allah dan habiskan saja kerja kita. Sebagai contoh, kalau bercinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan. Kalau berkahwin sekalipun tidak semestinya akan kekal,” katanya.
BACA INI :“Ini pertama kali jumpa artis spesis sebegini”, – A.Aida
Rosyam bersikap lebih profesional apabila ia melibatkan orang yang dikenali dan sangat berhati – hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana tidak mahu terlibat sama dalam perbalahan yang berlaku.