“Saya Sudah Kenal Adib Sejak 2010 Lagi” – Wany Hasrita

Industri hiburan menerima berita gembira apabila penyanyi cantik dan sopan Wany Hasrita akhirnya menamatkan zaman bujangnya dengan seorang jejaka berasal dari Sarawak bernama Al-Adib Fahmi.

Apabila diminta berkongsi mengenai lelaki yang berjaya menawan hatinya itu, Wany berkata hubungan mereka mula rapat sejak 2019.

“Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi. Ketika itu saya mengenalinya melalui rakan baik saya yang juga sepupunya. Kenal macam tu saja. Waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi.”

“Cuma, pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mengikuti antara satu sama lain di Instagram dan banyak berhubung di situ. Ada satu hari dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends. Saya pun boleh layan. Sejak itu, kami terus ‘ngam’ dan saling memahami dalam banyak perkara.”

“Tidak ada istilah ‘declare’ menjadi kekasih dalam perhubungan kami. Masing-masing saling memahami perasaan dan hati dan akhirnya memutuskan untuk membawa perhubungan ini ke fasa yang lebih serius,”

Wany Hasrita, 30, telah diijabkabulkan bersama Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, di Glam Hall, Damansara Perdana.

Mereka berdua selamat dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian pada majlis tersebut. Jumlah wang hantaran pula dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.

Leave a Comment