“Saya dah beritahu apa yang harus dilakukan apabila saya sudah tiada nanti” – Bob Lokman

Pada 8 April lalu pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut. Namun, akibat kekangan kewangan dia hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

“Saya sekarang, nak tenang-tenang saja. Keadaan penyakit saya, dah memang begini dan tak mahu terlalu banyak fikir lagi. Saya nak terima semuanya dengan hati yang tenang dan positif,”

“Sekarang, saya hanya nak cari ketenangan diri dalam menghadapi ujian penyakit dan takdir Tuhan ini. Rawatan doktor pun dah saya lakukan, tapi Allah Maha Mengetahui. Dalam hidup ini, semua orang akhirnya akan mati juga,”

“Saya patut jumpa doktor pada hujung Jun lalu. Tapi, saya memang cepat penat dan kalau nak ke kereta pun, kena ada orang papah. Malah, untuk bergerak di hospital nanti, kena ada orang tolakkan kerusi roda serta mengusung tong gas bagi bantuan pernafasan saya. Jadi, ia menyusahkan orang lain saja.”

Menurutnya, hasil perbincangan dengan doktor mengenai masalah yang dialami, pihak hospital bersetuju menghantar ubat ke rumahnya setiap bulan melalui pos.

“Apapun, saya dah berbincang dengan doktor mengenai masalah dialami dan meminta pihak hospital menghantar ubat ke rumah pada setiap bulan melalui pos. Nak berjalan jauh, memang risiko pada keadaan kesihatan saya sekarang,”

“Sejak Ramadan lalu, saya makan pun sekali sehari, pada awal pagi. Untuk petang dan malam, saya memang dah tak boleh makan sebab tak ada selera. Setiap hari, selera makan saya hanya ada pada awal pagi.”

“Saya juga kini semakin bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Dengan anak-anak pun, saya dah beritahu mereka berkenaan hala tuju yang harus dilakukan apabila saya sudah tiada nanti. InsyaAllah, mereka faham.”

Leave a Comment

Share Artikel Ini