Gosip Artis

Pelakon Veteran Zulkifli Zain Meninggal Dunia Akibat Pelbagai Komplikasi Penyakit

Pelakon Veteran Zulkifli Zain Meninggal Dunia Akibat Pelbagai Komplikasi Penyakit – Pelakon veteran terkenal satu masa dahulu, Datuk Zulkifli Zain disahkan meninggal dunia kira – kira pukul 7.30malam, Sabtu di kediamannya akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah kegagalan buah pinggang.

Berita sedih ini disahkan sendiri oleh anaknya yang juga seorang pelakon, pengarah teater dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli. Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia pada usia 76 tahun. Arwah meninggalkan seorang isteri iaitu Normala.

“Ya, bapa saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Dia meninggal dunia di rumah akibat komplikasi banyak penyakit.

“InsyaAllah, esok (Ahad) sekitar pukul 9 pagi jenazah akan dibawa ke masjid untuk dimandikan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat zohor,” kata Norzizi

Pada Mac lalu, pelakon filem Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu itu berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Zulkifli dikejarkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang pada 7 Mac lalu.

Pada 15 Mac lalu, kesihatan bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu dilaporkan merosot dari hari ke hari hingga kurang memberikan respon dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Zizi, bapanya dijangka akan menerima satu anugerah dari UiTM pada Khamis ini sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang seni namun tidak kesampaian.

Bercerita mengenai apa-apa hajat yang tidak kesampaian, kata Zizi, ayahnya mengidam untuk makan mi kari pada minggu lalu namun Zizi tidak sempat menyediakannya dan bercadang akan memenuhi permintaan itu pada minggu ini namun tidak berjaya selain arwah juga sukar untuk menjamah makanan.

Beberapa bulan lalu kata Zizi, arwah kerap bertanya bilakah Zizi akan bergelar Profesor Madya dan dia berhasrat untuk memenuhi permintaan bapanya itu.

“Arwah selalu tanya bila Zizi nak bergelar Profesor Madya dan sekarang ni Zizi tengah berusaha ke arah itu. InsyaAllah, Zizi akan penuhi impian arwah ayah nanti,” ujarnya yang reda dengan kehilangan bapannya.

Zulkifli yang juga suami kepada pelakon Datin Normala Omar itu pernah diserang angin ahmar pada 2016.

Bertemu jodoh dengan Normala yang juga pelakon drama Opah sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata. Selain Norzizi, Allahyarham juga mempunyai empat orang anak lagi iaitu Norzaza, 38, Norzazila, 36, Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29 dan memiliki tujuh orang cucu.

Semasa era 1970an dan 1980an, Zulkifli yang berasal dari Alor Setar, Kedah pernah membintangi filem Jiwa Remaja, Potret Maria, Penentuan dan banyak lagi. Di atas sumbangan pada karier seni yang diceburi, Zulkifli dianugerahkan gelaran Datuk oleh kerajaan negeri Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker