Panggung Wayang Didenda Rm45,000 Kerana Jual Keropok Kentang Rm5.00

Baru-baru ini dikhabarkan sebuah syarikat panggung wayang telah didenda sebanyak RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana telah melakukan kesalahan mencatut harga penjualan air mineral dan keropok kentang.

Kesalahan itu dilaporkan berlaku di Dataran Pahlawan Megamall, Jalan Merdeka, Banda Hilir.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar, pihak panggung wayang itu didapati telah menaikkan harga jualan bagi air mineral 600 mililiter dan keropok kentang 75 gram.

Katanya, air mineral itu dijual pada harga RM3.30 dengan keuntungan naik kepada 0.97 peratus, manakala keropok kentang dijual pada harga RM5.00 dengan keuntungan naik 1.23 peratus.

“Bagi kesalahan itu, jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 (lima ratus ribu ringgit) dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit).

“Selepas meneliti keterangan daripada tiga saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan berserta hujah, mahkamah mendapati suatu kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan utama gagal dibuktikan pihak pembelaan.

“Namun setelah mendengar rayuan pengurangan hukuman, hakim Nariman Badruddin telah menjatuhkan hukuman denda RM45,000 di atas pertuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendakwaan telah dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi, Keh Shu Min dan dibantu oleh Pegawai Pendakwa Sallim Wahid

Manakala tertuduh diwakili peguam Joshua Teoh Beni Chris & Desmond Liew Zhi Hong dari Tetuan Skrine – Advocates and Solicitors.

Leave a Comment

Share Artikel Ini