Wanita yang tular akibat video menghina Islam di sebuah kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah dibebaskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan tidak akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.
Pendakwaan tersebut difahamkan tidak akan diteruskan kerana ia membabitkan tuduhan bersifat sama dan hukuman dihadapi wanita terbabit jika disabitkan kesalahan melalui pertuduhan di mahkamah sivil adalah lebih berat daripada hukuman diperuntukkan melalui tuduhan mahkamah syariah.
Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir, pembantu kepada peguam R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramiradalam kenyataan hari ini berkata, beliau menerima panggilan daripada pegawai JAWI jam 10 malam tadi yang memaklumkan wanita itu akan dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh JAWI dengan serta merta.
Menurut Hannann Syoffeeya, beliau turut dimaklumkan bahawa JAWI akan berhubung dengan Siti Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan.