Penyanyi , Bad Indigo berkongsi pengalaman di bulan Ramadhan yang mana dirinya sudah lama tidak berkunjung ke bazar Ramadhan sejak berkerusi roda.
Dia terpaksa melupakan hasrat untuk membeli juadah di bazar Ramadhan kerana tiada kemudahan tempat letak kereta bagi Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan di kawasan berkenaan.
“Saya cuma rindu suasana nak ke bazar Ramadan kerana dengan keadaan saya sekarang, memang susah nak jejak ke bazar kerana tiada kemudahan parking OKU.”
Setelah hampir 2 tahun berkerusi roda , Bad mengakui dirinya tidak mampu berjalan jauh apabila mahu berjalan ke kawasan bazar dan terpaksa menggunakan walker namun sedar ianya mengambil banyak ruang pada kawasan berkenaan.
“Kalau kena parking jauh, saya memang tak larat nak jalan. Lagi pun, saya pakai walker, jadi agak susah. Bukannya apa, kadang tengok orang muat naik gambar pergi bazar, timbul pula rasa rindu nak ke sana,” katanya.
Bersyukur
Walaupun begitu , dia merasa bersyukur kerana mempunyai rakan yang banyak membantunya membeli juadah berbuka puasa dan keperluan dirinya .
Bad yang kini bekerja di sebuah bengkel di Bukit Permai, Ampang hanya membeli makanan di restoran berhampiran atau di bazar Ramadhan berhampiran dengan bantuan rakan sekerja yang begitu memahami kondisinya.
“Saya sekarang kerja di bengkel. Kalau budak-budak bengkel pergi beli juadah berbuka, saya pesan saja pada mereka. Kadang-kadang, saya bawa kerusi roda naik ke jalan besar untuk melihat apa juadah yang dijual di kedai makan sekeliling.”
“Orang-orang dekat sini semua dah kenal saya. Kalau saya nak lintas jalan, mereka akan tahankan kereta untuk beri saya laluan. Alhamdulillah, mereka semua memang baik dan segala urusan saya juga dipermudahkan,” katanya.
Berkenaan kemudahan OKU yang masih belum meluas saat ini , Bad berharapa gar pihak berkuasa lebih peka tentang perkara ini dan membantu golongan memerlukan sepertinya.
“Saya tahu bukan mudah untuk pihak berkuasa menyediakan parking OKU di bazar Ramadan. Namun, sekiranya ada pihak-pihak yang boleh melihat akan masalah ini, saya harap mereka dapatlah lakukan sesuatu.”
Mengakui dirinya sulit jika berada di tempat awan atau pusat membeli – belah , Bad sedar golongan OKU memerlukan kawasan yang luas apabila menggunakan kerusi roda agar lebih mudah bergerak.
“Sebelum saya jadi OKU, saya sendiri tidak tahu individu OKU berdepan dengan banyak masalah. Contohnya kalau saya ke pusat membeli-belah juga, banyak kedai yang sukar untuk saya masuk sebab sempit.”
BACA INI :“Bagi saya cara itu tidak betul dan kita perlu mengajar mereka,”- Faizal Hussein
“Jadi saya akui kemudahan OKU di negara kita sebenarnya masih belum meluas dan mungkin kurangnya kesedaran tentang perkara ini,” jelasnya panjang lebar.