Penyanyi Diddy Hirdy baru-baru ini berkongsi berkenaan proses pembentangan viva bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Liverpool dalam bidang muzik. Pembentangan tersebut dibuat secara dalam talian beberapa hari lalu.
Katanya apabila diberitahu oleh penilai bahawa dia lulus dengan sedikit pembetulan, dia terus menangis dengan rasa oenuh bersyukur.
“Bila penilai dari University of Liverpool, England dan Queen Margaret University, Scotland cakap ‘pass’ (lulus) dan ‘minor correction’ (sedikit pembetulan), saya nangis (menangis) satu malam. Syukur alhamdulillah saya lulus.”
Dia turut berkongsi bagaimana perjuangan untuk mendapatkan PHD itu bermula dari tahun 2017 lagi. Banyak cabaran yang dihadapi olehnya termasuklah kisah bagaimana dia perlu berpindah dari Glasgow ke Liverpool sewaktu pengajian berjalan kerana bertukar penyelia.
“Perjuangan mendapatkan PhD ini bermula sejak 2017. Alhamdulillah, selepas lima tahun saya berjaya selesaikan walaupun pelbagai cabaran ditempuh. Sebagai contoh, saya bermula di Glasgow, Scotland, kemudian penyelia saya berpindah ke Finland. Dia ajak ikut sekali, tapi saya tak boleh sebab baru 10 bulan duduk di Glasgow. Namun, saya ambil keputusan berpindah ke Liverpool dan teruskan dengan penyelia sewaktu peringkat Ijazah Sarjana”
“Bagi saya, ini cabaran terbesar saya apabila perlu bertukar penyelia dan berpindah. Sedikit sebanyak ia mengganggu. Apabila merantau di negara orang, ia sangat susah. Itu belum lagi masalah timbul ketika nak pindahkan barang dari Glasgow ke Liverpool”
Diddy juga merasakan seperti tidak percaya apabila panel penilai menyatakan dia sudah lulus. Proses viva yang dilalui juga dirasakan sangat singkat kerana ada yang lebih lama dalam tempoh tiga jam atau bersambung keesokan harinya.
“Saya ingat lagi ada seorang profesor cakap PhD ini rezeki, tak semestinya pelajar pandai akan lulus. Kalau Allah tak izinkan, tak juga. Itu yang bila panel penilai cakap ‘pass’ saya macam tak percaya. Kemudian proses viva saya sangat singkat iaitu satu jam 30 minit, sedangkan ada orang lebih lama dalam tiga jam, malah ada sebahagian kes sampai sambung esok hari. Saya ada berbual dengan kawan-kawan yang PhD, mereka cakap mungkin perjalanan saya berliku, jadi Allah permudahkan,”