Lufya Omar Cedera Di Muka Selamatkan Anak Hampir Diculik!

Pelakon Lufya Omar berdepan detik cemas apabila dia mendakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan, Ahad lalu.

Lufya atau pemilik nama penuh, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat namun mengalami kecederaan di muka disebabkan individu itu memukulnya menggunakan batang kayu.

“Dua hari lalu saya diserang oleh seorang lelaki yang nak cuba menculik anak perempuan saya. Masa tu kami berada di playground Kota Damansara lebih kurang jam 4 ke 5 petang.

“Seorang lelaki yang bersifat dayus memukul saya menggunakan batang kayu ke kepala, badan serta menyebabkan kecederaan pada wajah dan badan saya.

“Alhamdulillah anak selamat dan saya pun selamat. Im a fighter! Terpanggil nak kongsi sesuatu yang penting untuk kita semua,” kata Lufya.

Pelakon berusia 37 tahun itu berkongsi kejadian menakutkan yang diharungi itu menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto wajahnya mempunyai luka seperti di cakar.

Lufya turut menyarankan kepada golongan wanita di luar sana untuk mempunyai ilmu seni mempertahankan diri supaya sekurang-kurangnya bersedia berdepan situasi itu.

“Apa yang saya nak sampaikan kat sini demi keselamatan anak serta diri kita sendiri walaupun kita ni wanita yang lemah kita kena ada ilmu mempertahankan diri.

“Ikutkan orang yang menyerang itu lelaki yang agak besar dan kuat. Dengan izin Allah juga saya dapat melawan dan selamatkan anak saya.Syukur Alhamdulillah.. Sebagai iktibar kita perlu selalu berjaga-jaga.

“Kita tak tahu orang zaman sekarang ni sanggup buat perkara yang keji. Manusia makin tiada kemanusiaan. Doakan kesembuhan dan keselamatan kami ya,” katanya.

Terdahulu, Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

Lufya dan Hafiz yang merupakan seorang doktor bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.

Leave a Comment

Share Artikel Ini