Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan pada 10 Februari 2023 yang lalu bahawa pemilik kenderaan persendirian di Malaysia tidak lagi diwajibkan untuk mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau nama lainnya cukai jalan (roadtax) berkuat kuasa serta-merta.
Selain roadtax, pengguna jalan raya juga sudah tidak perlu lagi membawa lesen memandu (LMM) fizikal seperti yang diamalkan sebelum ini sebaliknya mereka hanya perlu menunjukkannya secara digital jika perlu.
Baca Juga : Bantuan KWSP RM500 Masuk Secara Automatik
Menurut Anthony, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan, yang menyatakan lesen kenderaan bermotor mesti disangkut dan dipamerkan pada kenderaan, tidak akan dikuatkuasakan lagi sebaliknnya akan menggunakan mod paparan digital.
Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan dimulakan dengan kenderaan persendirian milik individu warganegara termasuklah motosikal sebelum diikuti kenderaan-kenderaan lain.
Jelas beliau lagi, orang ramai boleh mendapatkan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) ini melalui portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ bawah satu projek perintis.
Di sini, kami akan kongsikan cara dan langkah-langkah untuk mendapatkan lesen memandu dan cukai jalan (road tax) digital anda menerusi aplikasi MyJPJ.
#1 Muat turun aplikasi MYJPJ
Muat turun aplikasi MyJPJ yang sah. Untuk pengguna Android muat turun di sini, dan pengguna iPhone di sini.
#2 Log Masuk atau Daftar MyJPJ
Selepas selesai muat turun, buka aplikasi tersebut. Bagi mereka yang sudah mempunyai akaun JPJeID/ MySikap, anda boleh terus memasukkan ID pengguna iaitu no MyKad anda diikuti kata laluan untuk log masuk.
Jika gagal log masuk kerana masalah kata laluan, anda boleh tekan Terlupa Kata Laluan dan masukkan No MyKad anda dan e-mel yang digunakan untuk pendaftaran. Anda akan diberikan kata laluan sementara sebelum boleh menggantikannya dengan kata laluan yang baharu.
Namun buat mereka yang tidak mempunyai ID MySikap tersebut, anda perlu mendaftar akaun baharu.
Caranya klik pada Daftar Akaun Baharu (warna hijau) dan masukkan No MyKad Anda dan teruskan proses mendaftar sehingga selesai.
#3 Tekan Tab Profile
Sebaik selesai log masuk, anda akan dibawa ke laman utama. Tekan ‘Profil’ pada ruangan tab di sebelah bawah kanan.
#4 Pilih Lesen Memandu atau Lesen Kenderaan Motor
Pilih Lesen Memandu untuk paparan LMM Digital (e-LMM) dan pilih Lesen Kenderaan Motor untuk melihat paparan LKM (road tax) digital anda.
Mod paparan penuh
Anda juga boleh menukar mod paparan daripada sedia ada kepada full screen hanya dengan menekan Paparan Penuh.
Mod ini boleh digunakan untuk kedua-dua lesen memandu dan juga cukai jalan.
Memandangkan aplikasi MyJPJ ketika ini sedang mengalami trafik yang tinggi, anda dinasihatkan untuk melakukan tangkap layar (screenshot) maklumat-maklumat tersebut dan simpannya di dalam telefon pintar anda.
Namun, buat masa ini kerajaan masih lagi mengekalkan amalan kebiasaan LMM dan LKM dalam tempoh interim (sementara). Justeru pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia untuk beralih kepada digital masih boleh menggunakan roadtax dan lesen memandu fizikal mereka seperti biasa.
Kongsikan artikel ini jika anda rasakan ia akan memberikan manfaat kepada keluarga dan kenalan anda.