Pelakon kacak , Azrel Ismail, 38 sudah merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya pada tahun depan dan mengaku sudah bercinta sejak setahun lalu .
Azrel berkata, mereka sudah menjalinkan hubungan percintaan hampir setahun dan Azrel menjelaskan yang kekasih pilihan hatinya itu hanyalah insan biasa dan berusia dalam lingkungan 20- an serta berasal daripada Kuala Lumpur.
Dia yang sememangnya sudah bersedia untuk berumahtangga sudah mempunyai perancangan masa depan dengan kekasignya itu dan merancang untuk meneruskan hubungan sehingga ke jinjang pelamin.
“Dia hanya wanita biasa dan bukan kalangan artis serta berusia awal 20-an, tidak bertudung dan berasal dari Kuala Lumpur. Pada usia sekarang, saya memang sudah bersedia untuk berkahwin.
“Kami juga sudah berbincang untuk membawa hubungan percintaan yang terjalin ke fasa perkahwinan. Insya-Allah, jika tiada aral pada tahun depan,” jelasnya .
Azrel berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Multimedia dan pelancaran treler filem War On Terror KL Anarki yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Belum Bersedia
Namun dia masih belum mahu berkongsi identiti dan wajah kekasihnya itu kerana merasa belum bersedia untuk mendedahkan kekasihnya itu kepada media.
Dia tidak mahu terlalu heboh tentang perkara itu kerana bimbang perkara lama berulang kembali dan perkara yang dirancang tidak menjadi sehingga menjejaskan namanya.
Tetapi Azrel berjanji akan berkongsi tentang tarikh dan hubungan mereka apabila segalanya sudah diaturkan oleh kedua belah pihak dan mendapat persetujuan bersama.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut mengenai teman istimewa itu kerana bimbang jika yang dirancang tidak menjadi.
“Bila sudah ada tarikh untuk majlis perkahwinan nanti, saya tidak akan merahsiakannya dari pihak media dan peminat,” katanya.
Bercerita tentang kisah percintaannya sebelum ini , Azrel sempat mengakui yang dirinya sudah serik untuk bercinta dengan rakan artis kerana semuanya terputus di tengah jalan.
BACA INI : “Saya tidak akan minta maaf kerana saya tidak salah,” – Ryzal Ibrahim
“Berdasarkan pengalaman masa lalu, hubungan dengan rakan artis ini tidak berjalan lancar seperti diharapkan untuk ke fasa lebih serius,” katanya.