Umum mengetahui berita sedih pemergian Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Allahyarham Mohd Noor Kadir, 69.
Jenazah Allahyarham telahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota Kuala Lumpur, jam 12 tengah hari.
Anak keempat Allahyarham, Nabila Mohd Noor, 32, ketika dihubungi telah berkongsi sedikit sebanyak tentang penyakit bapanya itu untuk mengelak sebarang salah faham.
“Alhamdulillah, ramai yang hadir termasuk artis. Tapi kebanyakan mereka baru nak tahu kes ayah tadi. Mereka tahu ayah sakit, tapi tak tahu lebih terperinci sakit ayah. Cuma, yang memahami isu ayah adalah Datuk Yusof Haslam. Sebab saya memang sentiasa kemas kini dengan Uncle Yusof,”
“Saya berharap tidak ada mana-mana pihak yang menulis ayah saya kanser prostat. Ayah saya memang menghidap kanser tahap empat, tapi kanser apa kita tak tahu lagi. Ayah menuggu keputusan untuk tahu sama ada ‘primary canser liver’, buah pinggang, prostat atau ‘adrenal cortex’. Kami sebagai ahli keluarga pun tak tahu lagi keputusannya.”
“Sebab ayah sepatutnya dapat keputusan kanser jenis apa pada hari ini. Tapi Allah lebih sayangkan dia, dia pergi dulu,”
Menurut Nabila, ayahnya telah sakit sejak dari bulan Mei yang lalu. Penyakit yang dipanggil Pericardial effusion itu adalah kondisi yang mana air bertakung dalam selaput jantung.
“Ayah dah sakit dari bulan Mei lalu. Dia ada sakit yang dipanggil Pericardial effusion yang mana air bertakung dalam selaput jantung. Jadi, ayah perlu buat pembedahan keluarkan air itu. Selepas itu, dia dah okay.
“Penyakit ini boleh terjadi atas banyak sebab, jadi doktor buat ujian lain. Hasil pemeriksaan dapat tahu ada kanser Metastasis yang mana sudah merebak ke jantung. Disebabkan kanser dan jantung lemah, ditambah air pula himpit jantung dan itu yang makin lemah.
“Ayah dimasukkan ke wad HKL sejak Selasa minggu lepas. Pada awalnya dia ditempatkan di wad biasa. Pada Isnin lepas, doktor pakar dapati ayah tak sesuai di wad tu, dia kena berada di wad pemulihan jantung. Jadi kami tak boleh berada dengan ayah, cuma boleh melawat saja. Disebabkan tak ada rawatan yang boleh dibuat pada keadaan ayah ketika itu, doktor hanya masukkan ubat saja,”