Amyza Aznan Juga Diganggu Orang Ketiga

Desas-desus berkenaan isu rumah tangga diganggu orang ketiga telah mendapat respon ramai rakan artis yang lain.

Pelakon berpengalaman, Amyza Aznan turut berkongsi pengalamannya berkenaan isu tersebut. Dia memberikan beberapa nasihat berkaitan rumah tangga termasuklah dari perihal kenakalan seorang suami.

“Sebenarnya orang lelaki ini ada nakalnya. Kalau kita terlampau mengawal mereka akan rimas. Bila rimas, lagi mereka akan buat. Jadi biarkan saja, lambat laun mereka akan datang balik. Itu pada sayalah, orang lain saya tak tahu.

“Sudah tentu saya pernah mengalami situasi itu. Tapi bila suami datang balik kepada saya dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi, jadi saya beri peluang. Perasaan was-was itu ada tetapi saya percaya dia,”

Menurut Amyza gangguan orang ketiga sudah tidak berlaku dalam rumah tangganya. Perasaan marah itu memang wujud namun dia tidak sampai tahap mahu mencederakan orang lain.

“Setakat ini rumah tangga saya baik-baik saja dan gangguan seperti itu tidak ada dah. Pada awalnya memang saya marah tapi tak adalah saya buat tindakan yang mencederakan orang.

“Saya biarkan saja dan selalu fikir apa yang terjadi ini mungkin puncanya daripada diri saya sendiri. Mungkin juga saya bukan isteri yang sempurna. Daripada situ saya reda dan terima saja,”

Pelakon tersebut juga memberitahu bahawa dia akan selalu muhasabah diri kerana menyalahkan orang lain akan membuatkan diri sendiri dalam keadaan marah dan tidak tenteram.

“Saya muhasabah diri sebab kalau terus menerus menyalahkan orang lain kita akan selalu marah dan susah nak terima permohonan maafnya.

“Jadi saya selalu tanamkan dalam fikiran bahawa apa yang terjadi adalah salah diri sendiri. Saya tak sempurna, saya tak jaga suami dengan baik, jadi itu yang perlu dibaiki,”

Leave a Comment

Share Artikel Ini